Bagi mengatasi kegiatan pemilik-pemilik kenderaan berat khususnya lori yang memanipulasi keputusan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dengan cara menggunakan alat ganti seperti tayar yang hanya di sewa sementara, Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal mengkaji kerangka perundangan sedia ada sekiranya terdapat ruang untuk menggubal undang-undang bagi mengelakkan perkara sedemikian dari terus berlaku, lapor Kosmo.
Menurut timbalan menterinya, Datuk Hasbi Habibollah dalam Dewan Rakyat hari ini, mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut menyewa tayar yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan ketika membawa kenderaan masing-masing untuk di periksa, namun tayar berkenaan ditukar semula kepada tayar lama atau tidak selamat selepas pemeriksaan selesai.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu terhadap ekosistem yang terlibat dalam sindiket ini merangkumi pembekal atau kedai yang menawarkan perkhidmatan sewa tayar, orang tengah dan pemilik kenderaan terbabit.
“MOT melalui JPJ akan mempergiatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dengan melaksanakan pemeriksaan mengejut di lokasi strategik selepas pemeriksaan kenderaan di Puspakom.
“Selain itu, Pasukan Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya (UPLR) turut ditubuhkan oleh JPJ untuk meningkatkan pematuhan kenderaan perdagangan terhadap peraturan, khususnya di lebuh raya dan laluan utama yang mempunyai aliran trafik tinggi,” katanya.
Beliau memberitahu perkara ini ketika menjawab pertanyaan, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang ingin tahu berapa jumlah kedai tayar dan bengkel yang telah diambil tindakan kerana menyewakan tayar kepada lori sebagai helah semasa pemeriksaan di Puspakom.
Pada masa yang sama Hasbi turut menyatakan bagi masa jangka masa panjang, MOT dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan mengkaji kaedah yang lebih efektif dengan menggunakan penerapan teknologi bagi menangani isu manipulasi sewa tayar bagi kelulusan pemeriksaan kenderaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.